0 comments / Posted on by Modest Culture

Apa-apa sahaja yang kita lakukan di dunia ini, kalau tidak membawa atau meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT adalah sia-sia.

Menurut Imam Ghazali, takwa bermaksud melakukan apa yang diperintahkan oleh Allah SWT dan meninggalkan apa yang dilarang- Nya. Oleh itu, apabila kita mahu berpakaian terutama sekali ketika mahu keluar dari rumah, kita harus berpakaian yang melambangkan ketakwaan.

Seperti firman Allah SWT dalam Surah Al'Araf, ayat 26 yang bermaksud

Wahai anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu pakaian untuk menutupi auratmu dan pakaian indah untuk perhiasan dan pakaian takwa itulah yang paling baik. Yang demikian itu adalah sebahagian daripada tanda-tanda kekuasaan Allah, mudah-mudahan mereka selalu ingat

Pakaian yang melambangkan ketakwaan seseorang wanita muslimah adalah pakaian yang memelihara auratnya serta menepati syariat. Ketakwaan kepada Allah SWT akan mendorong kita untuk lebih berhati-hati memilih pakaian supaya tidak menampakkan bentuk tubuh badan dan warna kulit. Malah, wanita yang tidak mempunyai niat untuk menjadi wanita solehah, hidupnya adalah sia-sia.

Batasan aurat wanita yang telah digariskan oleh Islam di dalam dan luar solat adalah sama iaitu keseluruhan tubuh badan kecuali muka dan tapak tangan. Oleh itu, adalah lebih afdal sekiranya wanita-wanita muslimah yang mahu keluar rumah untuk berpakaian yang memudahkan mereka untuk terus solat di mana-mana sahaja dan pada awal waktu, dalam erti kata sentiasa berpakaian solat ready.

Mengaplikasi solat ready

Konsep solat ready bukan sahaja boleh diaplikasikan dari segi berpakaian, tetapi juga dari aspek

  • Wanita - yang berpakaian solat ready perlu juga wudhu ready supaya tidak menyukarkan diri sendiri untuk mencari tempat untuk berwudhu sekaligus menjimatkan masa. Apabila sentiasa dalam keadaan berwudhu, kita akan lebih cenderung untuk tidak melanggar batas-batas pergaulan, terutama sekali di tempat kerja. Malah, Islam menganjurkan umatnya untuk sentiasa berada dalam keadaan berwudhu seperti sabda Rasulullah SAW, Sesungguhnya umatku akan dihadirkan di hari kiamat dengan wajah, tangan, dan kaki yang bercahaya sebab bekas wudhu mereka (selama di dunia) – Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim. 

  • Akhlak - Solat ready dari segi akhlak bererti membawa perlakuan dan perbuatan kita ketika solat ke luar solat. Misalnya ketika solat kita tidak akan berkata hal yang lagha (sia-sia), begitu jugalah keadaannya di luar solat. 

  • Masa - Wanita yang berkerjaya digalakkan untuk berpakaian solat ready supaya dapat membuat perancangan masa untuk solat ketika benar-benar sibuk. Tidak ada lagi alasan seperti tidak mempunyai masa.

0 comments

Leave a comment

All blog comments are checked prior to publishing